Monday, June 21, 2010

Empangan Di Kampung Tambatoun????

CADANGAN pembinaan empangan di Sungai Kadamaian di Kampung Tambatuan, Kota Belud dan pemecatan 36 Orang Ketua Kampung oleh Adun Kadamaian, Datuk Herbert Timbun Lagadan bagaikan meletakkan ‘racun persengketaan’ ke dalam gelas UMNO dan melucutkan statusnya sebagai ‘Pastor’.Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan, menyifatkan demikian dalam pertemuan khas dengan Krew Sabahkini.net selepas ‘Majlis Khas Bersama Rakyat’ di Kampung Tambatuan yang dihadiri oleh lebih 100 penduduk kampung yang terlibat dengan kawasan cadangan pembinaan empangan serbaguna.“Kerja kita untuk menawan Parlimen Kota Belud dan tiga buah DUN lebih mudah dengan insiden yang memilukan ini dan kita yakin akan mampu merubah keadaan pada pilihanraya umum akan datang,” ujar Jeffrey yang menyifatkan pemecatan 36 penyokong kuat BN dan cadangan pembinaan empangan sebagai satu rahmat kepada PKR. Kata Jeffrey, Herbert telah merintis jalan kepada PKR untuk membina tugu sokongan di Parlimen Kota Belud dan Kampung Tambatuan menjadi batu asas dan mercu tanda kebangkitan rakyat menentang kezaliman BN yang bertindak di luar batas peri kemanusiaan. “Dalam hal ini, kita akan merumuskan beberapa formula bagi menyelesaikan isu yang melanda penduduk kampung yang terlibat dengan projek berkenaan dan ketua kampung yang telah dipecat agar terus dapat menyumbang bakti kepada masyarakat melalui wadah yang baru,” ujar Jeffrey yang agak terkilan dengan sikap ‘drakonian’ Herbert yang tidak langsung menghargai Ketua Kampung yang telah lama berjasa kepada negeri ini.
Ketika ditanya pandangannya berhubung kebimbangan penduduk kampung Tambatuan, Jeffrey menyifatkan ianya sebagai ‘trauma’ yang tidak akan menjadi kenyataan kerana Kerajaan BN tidak mampu melaksanakan projek berkenaan yang menelan belanja yang besar dalam keadaan BN yang semakin muflis. “Pada hemat saya, ia masih di peringkat kajian kemungkinan dan tidak mungkin dilaksanakan dalam masa satu atau lima tahun akan datang. Lagipun ianya tidak termasuk dalam RMK10 kerana bukannya projek prioriti dan BN hanya mencari penyakit dengan melaksanakan cadangan projek yang tidak praktikal untuk menenggelamkan beberapa kampung terlibat. Banyak cara lain untuk mendapatkan air dan sumber tenaga,” ujar Jeffrey yang menggesa agar penduduk kampung banyak bersabar dan terus bersemangat mempertahankan kampung mereka dari sebarang pencerobohan. Tindakan Herbert dan Kerajaan BN yang merencanakan projek berkenaan telah memberikan peluang kepada PKR untuk membantu rakyat yang selama ini merupakan penyokong tegar BN dan kubu kuat BN yang sukar ditembusi mana-mana parti pembangkang. “Kita berterima kasih kepada Herbert kerana memberi peluang dan membuka pintu seluasnya kepada PKR untuk berkubu di sini atas kehendak rakyat. Semoga sejarah Tambunan 1985 mungkin akan berulang di sini,” ujar Jeffrey yang tersenyum bangga dengan sambutan rakyat Tambatuan. Dalam pada itu, ketika berucap di hadapan penduduk kampung Tambatuan, Jeffrey menegaskan bahawa Kerajaan tidak boleh bertindak sesuka hati melaksanakan sesuatu projek mega tanpa kajian kesan alam sekitar dan berjanji PKR akan mampu menyelesaikan masalah tersebut jika diberi peluang memerintah Sabah.

“Kerajaan PKR dan Pakatan Rakyat akan sentiasa menjaga kepentingan rakyat dan rakyat berpeluang menghilangkan trauma ini sekiranya memilih PKR pada pilihanraya umum akan datang,” ujar Jeffrey yang menyifatkan insiden ini memberi peluang rakyat menilai semula perjuangan mereka dalam BN dan mempelawa mereka menyertai PKR secara beramai-ramai untuk meneruskan kesinambungan perjuangan mereka. Jeffrey turut menerima salinan memorandum bantahan yang ditandatangani 193 orang penduduk kampung Tambatuan yang telah diserahkan kepada Herbert, Ahli Parlimen Kota Belud dan Ketua UMNO Kota Belud pada 30 Mei 2009. Di Majlis yang sama, Jeffrey turut menerima memorandum ‘Kertas Kosong’ yang diserahkan oleh penduduk kampung yang terlibat dengan harapan akan dicorakkan oleh PKR mengikut formula yang diputuskan oleh pucuk pimpinan parti. “Kita percaya kepada Datuk Jeffrey dan kerana itulah kita memberikan memorandum kertas kosong sebagai simbolik bahawa kita menyerahkan nasib dan masa hadapan kita kepada PKR setelah memorandum bertulis yang kita serahkan kepada BN tidak langsung dipedulikan,” ujar Singkui Tinggi, salah seorang Ketua Kampung yang dipecat Herbert. -Sabahkini

Monday, April 5, 2010

Kesan Penjimatan Kerajaan Atau ...???

PULAU MANTANANI (Kota Belud): “Kami bukannya tak sayang anak, malah kami gembira apabila mereka pulang ke pulau ini. Bagaimanapun, kami bukan orang senang dan setiap kali menggunakan bot ke Kuala Rampayan, habis satu atau dua ratus ringgit. “Kami cuma tidak tahan mengambil dan menghantar anak ke tanah besar setiap hujung minggu. Berapa sangatlah pendapatan kami sebagai nelayan. Kami merayu Jabatan Pelajaran Sabah menimbangkan penderitaan kami.”Itulah luahan kesedihan ibu bapa di pulau ini kerana perlu mengambil anak mereka yang ‘dipaksa’ meninggalkan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang di Kota Belud setiap petang Jumaat dan kembali ke asrama setiap petang Ahad.Berbanding sesi persekolahan tahun lalu, pada tahun ini pelajar terbabit tidak dibenarkan menghuni asrama pada hujung minggu berikutan langkah Kementerian Pelajaran mengehadkan perbelanjaan makanan dan minuman pelajar, bertujuan menjimatkan kos.Berikutan itu, pelajar yang menghuni asrama sekolah ‘dipaksa’ pulang ke rumah masing-masing setiap hujung minggu kerana pihak pengurusan asrama tidak menyediakan makanan dan minuman.Langkah itu mungkin kurang membebankan mereka di tanah besar tetapi bagi ibu bapa di pulau ini, ia jelas menyulitkan kerana terpaksa mengeluarkan kos tinggi bagi menjemput anak di jeti Kuala Rampayan setiap Jumaat dan Ahad. Omar Hamara, 40, yang hidup dengan bergantung rezeki di laut, berkata anaknya, Bahrin dan Khairuddin, masing-masing dalam Tingkatan Empat dan Dua SMK Narinang ‘dipaksa’ pulang oleh pentadbir sekolah dan asrama berkenaan setiap hujung minggu. “Saya tidak dapat turun ke laut pada kedua-dua hari itu kerana perlu menguruskan soal pengambilan dan penghantaran anak. Setiap kali berulang alik ke jeti Kuala Rampayan, saya terpaksa membelanjakan RM100 untuk minyak. “Itu belum masuk sewa pikap (teksi di pedalaman) RM50 dari Kuala Rampayan ke SMK Narinang dan sebaliknya. Saya tidak mempunyai saudara di tanah besar.Pernah saya tidak ambil anak dan mereka tidur di jeti Kuala Rampayan selama dua malam dan makan mi segera untuk alas perut,” katanya.Bermalam di jeti bermakna melelapkan mata tanpa selimut atau bantal, selain bergelut dengan kedinginan angin laut, kelaparan dan kehausan.
Penduduk Pulau Mantanani memerlukan dua jam menaiki bot nelayan untuk ke jeti Kuala Rampayan. Pada musim gelora, mereka terpaksa bertarung dengan ombak dan ketidaktentuan nasib setiap kali dipukul angin kencang.Penderitaan Omar turut dikongsi Rosmin Amsil, 45, Enggu Pauh, 50, dan Jimmy Gonzalez, 46, yang masing-masing mempunyai anak menghuni asrama SMK Narinang.Rosmin berkata, anaknya Razmin yang menuntut dalam Tingkatan Satu menumpang di jeti berkenaan setiap kali beliau atau penduduk pulau tidak ke pekan Kota Belud untuk menguruskan pelbagai keperluan harian.“Kami jarang ke tanah besar kerana setiap perjalanan memerlukan wang.
“Bagaimanapun, mulai awal tahun ini kami terpaksa berbelanja lebih untuk mengambil dan menghantar anak ke SMK Narinang,” katanya.Enggu berkata, ada kalanya pelajar dari pulau berkenaan menumpang tidur di rumah bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pulau Mantanani, Sabli Nanti, 55, di Kampung Taun Gusi berikutan tiada bot yang membawa mereka pulang ke pulau.“Cikgu Sabli selalu ‘mengutip’ anak saya dan penduduk pulau ini jika ternampak mereka berlegar-legar di jeti Kuala Rampayan atau pekan Kota Belud. Kalau keadaan ini berterusan, anak saya terpaksa berhenti sekolah,” katanya. Sementara itu, sumber Jabatan Pelajaran Sabah berkata, kebanyakan sekolah berasrama di negeri itu sudah mendapatkan peruntukan tambahan bagi memastikan perbelanjaan makanan dan minuman pelajar setiap hujung minggu mencukupi. Ini kerana, katanya, tidak mungkin pelajar yang menetap jauh dari sekolah mampu berulang alik ke rumah setiap hujung minggu berikutan kekangan kewangan ibu bapa mereka.“Pentadbir SMK Narinang akan diminta memberi penjelasan berhubung masalah pelajar dari pulau ini supaya penyelesaian dapat dicari,” katanya.
Saya mulakan 'posting' dalam blog ini dengan cerita hangat yang berlaku di SMK Narinang, sebuah sekolah menengah yang terletak di Kadamaian..Apabila terjumpa cerita ini dalam Berita Harian Edisi Sabah & Sarawak pada muka depan, agak terkejut juga sebab cerita ini Satu Malaysia akan membacanya.. Kebetulan pula saya sedang mencari bahan untuk dipaparkan buat kali pertama dalam Kadamaian Highlight ini.. Setelah kita membacanya, pasti kita akan terfikir seketika... TIDAK pernah TERFIKIRKAH oleh mereka tentang betapa sengsaranya pelajar-pelajar dari pulau atau dari kampung lain yang jauh dari sekolah ini untuk pulang setiap hujung minggu dari asrama..!!! Tiada alternatif lain kah??? Di mana peranan PIBG ? Atau PIBG tidak diberitahu langsung tentang hal ini...

 

blogger templates | Make Money Online