Monday, June 21, 2010

Empangan Di Kampung Tambatoun????

CADANGAN pembinaan empangan di Sungai Kadamaian di Kampung Tambatuan, Kota Belud dan pemecatan 36 Orang Ketua Kampung oleh Adun Kadamaian, Datuk Herbert Timbun Lagadan bagaikan meletakkan ‘racun persengketaan’ ke dalam gelas UMNO dan melucutkan statusnya sebagai ‘Pastor’.Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan, menyifatkan demikian dalam pertemuan khas dengan Krew Sabahkini.net selepas ‘Majlis Khas Bersama Rakyat’ di Kampung Tambatuan yang dihadiri oleh lebih 100 penduduk kampung yang terlibat dengan kawasan cadangan pembinaan empangan serbaguna.“Kerja kita untuk menawan Parlimen Kota Belud dan tiga buah DUN lebih mudah dengan insiden yang memilukan ini dan kita yakin akan mampu merubah keadaan pada pilihanraya umum akan datang,” ujar Jeffrey yang menyifatkan pemecatan 36 penyokong kuat BN dan cadangan pembinaan empangan sebagai satu rahmat kepada PKR. Kata Jeffrey, Herbert telah merintis jalan kepada PKR untuk membina tugu sokongan di Parlimen Kota Belud dan Kampung Tambatuan menjadi batu asas dan mercu tanda kebangkitan rakyat menentang kezaliman BN yang bertindak di luar batas peri kemanusiaan. “Dalam hal ini, kita akan merumuskan beberapa formula bagi menyelesaikan isu yang melanda penduduk kampung yang terlibat dengan projek berkenaan dan ketua kampung yang telah dipecat agar terus dapat menyumbang bakti kepada masyarakat melalui wadah yang baru,” ujar Jeffrey yang agak terkilan dengan sikap ‘drakonian’ Herbert yang tidak langsung menghargai Ketua Kampung yang telah lama berjasa kepada negeri ini.
Ketika ditanya pandangannya berhubung kebimbangan penduduk kampung Tambatuan, Jeffrey menyifatkan ianya sebagai ‘trauma’ yang tidak akan menjadi kenyataan kerana Kerajaan BN tidak mampu melaksanakan projek berkenaan yang menelan belanja yang besar dalam keadaan BN yang semakin muflis. “Pada hemat saya, ia masih di peringkat kajian kemungkinan dan tidak mungkin dilaksanakan dalam masa satu atau lima tahun akan datang. Lagipun ianya tidak termasuk dalam RMK10 kerana bukannya projek prioriti dan BN hanya mencari penyakit dengan melaksanakan cadangan projek yang tidak praktikal untuk menenggelamkan beberapa kampung terlibat. Banyak cara lain untuk mendapatkan air dan sumber tenaga,” ujar Jeffrey yang menggesa agar penduduk kampung banyak bersabar dan terus bersemangat mempertahankan kampung mereka dari sebarang pencerobohan. Tindakan Herbert dan Kerajaan BN yang merencanakan projek berkenaan telah memberikan peluang kepada PKR untuk membantu rakyat yang selama ini merupakan penyokong tegar BN dan kubu kuat BN yang sukar ditembusi mana-mana parti pembangkang. “Kita berterima kasih kepada Herbert kerana memberi peluang dan membuka pintu seluasnya kepada PKR untuk berkubu di sini atas kehendak rakyat. Semoga sejarah Tambunan 1985 mungkin akan berulang di sini,” ujar Jeffrey yang tersenyum bangga dengan sambutan rakyat Tambatuan. Dalam pada itu, ketika berucap di hadapan penduduk kampung Tambatuan, Jeffrey menegaskan bahawa Kerajaan tidak boleh bertindak sesuka hati melaksanakan sesuatu projek mega tanpa kajian kesan alam sekitar dan berjanji PKR akan mampu menyelesaikan masalah tersebut jika diberi peluang memerintah Sabah.

“Kerajaan PKR dan Pakatan Rakyat akan sentiasa menjaga kepentingan rakyat dan rakyat berpeluang menghilangkan trauma ini sekiranya memilih PKR pada pilihanraya umum akan datang,” ujar Jeffrey yang menyifatkan insiden ini memberi peluang rakyat menilai semula perjuangan mereka dalam BN dan mempelawa mereka menyertai PKR secara beramai-ramai untuk meneruskan kesinambungan perjuangan mereka. Jeffrey turut menerima salinan memorandum bantahan yang ditandatangani 193 orang penduduk kampung Tambatuan yang telah diserahkan kepada Herbert, Ahli Parlimen Kota Belud dan Ketua UMNO Kota Belud pada 30 Mei 2009. Di Majlis yang sama, Jeffrey turut menerima memorandum ‘Kertas Kosong’ yang diserahkan oleh penduduk kampung yang terlibat dengan harapan akan dicorakkan oleh PKR mengikut formula yang diputuskan oleh pucuk pimpinan parti. “Kita percaya kepada Datuk Jeffrey dan kerana itulah kita memberikan memorandum kertas kosong sebagai simbolik bahawa kita menyerahkan nasib dan masa hadapan kita kepada PKR setelah memorandum bertulis yang kita serahkan kepada BN tidak langsung dipedulikan,” ujar Singkui Tinggi, salah seorang Ketua Kampung yang dipecat Herbert. -Sabahkini

 

blogger templates | Make Money Online